Pejuang Kiri Kemerdekaan
Saban tahun apabila menyambut ulang tahun kemerdekaan media elektronik dan media cetak akan memuatkan laporan mengenai detik-detik menyambut kemerdekaan. Turut digembar-gemburkan adalah peranan sebuah parti politik yang dikatakan memperjuang untuk mendapat kemerdekaan tanpa pertumpahan darah. Namun di sebalik laporan yang diputar berulang-ulang tahun tersebut jangan pula lupa golongan pejuang yang peranan mereka disisih dari laporan media. Kini banyak maklumat yang boleh kita baca mengenai golongan kiri yang menunjukkan penentangan mereka kepada penjajahan British. Mereka berjuang lebih awal dari parti politik berkenaan dan lebih dari itu ramai dari mereka yang sama ada terbunuh atau pun di penjarakan.
Catatan sejarah mengenai penentangan oleh pejuang seperti Datuk Maharajalela dan Datok Sagor di Perak, Tok Janggut di Kelantan, Datuk Bahaman dan Mat Kilau di Pahang memang telah sedia dimaklumi. Kemudian pada tahun-tahun 1940-an perjuangan menentang British diteruskan oleh pertubuhan seperti Kesatuan Melayu Muda (KMM) dan Parti Kebangsaan Melayu Malaya (PKMM). Perjuangan oleh KMM turut disertai oleh sayap pemuda Angkatan Pemuda Insaf (API) dan sayap wanitanya (AWAS).
Janganlah kita lupa nama-nama pejuang seperti Ibrahim Haji Yaakob yang menubuhkan KMM (1939), Dr Burhanuddin al-Helmi dan Ishak Hj Muhamad atau Pak Sako yang menubuh PKMM (1945) sebaik saja Jepun menyerah kalah. API dipimpin oleh Ahmad Boestamam dan AWAS pula diterajui oleh Shamsiah Fakeh.
- - - - -
