geopractice

August 25, 2008

Anugerah Merdeka

Filed under: Uncategorized - Administrator @ 2:17 am

 

Sebuah lagi anugerah telah disampaikan baru-baru ini - Anugerah Merdeka. Penganjuran Anugerah Merdeka dipelopori oleh tiga buah korporat minyak negara iaitu Petronas, ExxonMobil dan Shell. Empat penerima telah diumumkan mewakili empat kategori yang dipilih. Para penerima pada tahun ini ialah -

Prof Di Raja Ungku Aziz (pendidikan dan komuniti); Datuk Dr Khalid Abdul Kadir (kategori Kesihatan, Sains dan Teknologi); Profesor C T Tan (kategori Kesihatan, Sains dan Teknologi) dan Persatuan Pencinta Alam M’sia MNS (kategori Alam Sekitar).

Dr Khalid yang kini bertugas sebagai Pengetua Sekolah Klinikal Universiti Monash JB ialah anak kepada Tan Sri Kadir Yusof dan Tun Fatimah Hashim. Beliau menerima anugerah atas pengiktirafan usaha gigih menjalankan penyelidikan perubatan. Prof Tan pula ialah pakar neurologi di Universiti Malaya yang menyumbang kepada kajian virus Nipah.

Sebuah majlis sempena menyambut kemerdekaan telah berlangsung di Pekan Tampoi pada Ahad semalam. Antara program yang diadakan ialah konvoi kereta mengibar jalur gemilang. Konvoi tersebut turut melalui Plaza Angsana seperti dilihat di foto di atas.

August 20, 2008

Polemik Wahhabi

Filed under: Uncategorized - Administrator @ 6:38 am

 

Pertembungan pendapat melibatkan jemaah Wahhabi nampaknya berterusan tanpa penghujung. Jawap-menjawap dalam bentuk penulisan buku, artikel dan tidak ketinggalan laman-laman blog meneruskan rancak polemik. Berbagai sumber bacaan boleh kita kumpulkan bagi menelusuri mauduk yang di utarakan oleh masing-masing mereka. Sebagai contoh beberapa hujah penentangan Wahhabi boleh kita temui dari sumber berikut - uiam menentang ajaran wahhabi; wahhabiyah adalah khawarij; nama-nama lain yang disamakan sebagai wahhabi (mujassimah, salafi, …); pendapat Imam ash-Showi.

Argumen kumpulan yang kelihatan mendokong Wahhabi pula boleh ditemui umpamanya dari sumber berikut - ahkam net; beberapa nama pendokong tempatan Wahhabi disebutkan oleh sebuah rencana di sini. Antara nama yang dinyatakan ialah Dr Azwira Abdul Aziz dari UKM. Menariknya ialah beliau pernah menulis sebuah buku yang mempertahankan pegangan Wahhabi dan seangkatannya seperti kaum muda, ittiba’ al-sunnah dan tajdid.

Buku oleh Dr Azwira

Isu Wahhabi juga menjadi salah satu soalan di sidang Parlimen. Sebuah tulisan yang menghurai beberapa ciri Wahhabi dan menjawab artikel tulisan Mufti Perlis dimuatkan di sini.

August 19, 2008

Buangan Barangan Elektronik

Filed under: Uncategorized - Administrator @ 7:41 am

 

Barangan elektronik terbuang menyumbang kepada bahaya pencemaran secara tersembunyi. Ia sama bahayanya dengan pencemaran bau dan asap dari sumber industri mau pun kesan pembakaran terbuka. Barangan elektronik yang dilupus secara terbuka mengumpul berbagai jenis logam berat - plumbum, raksa dan cadmium yang kesemuanya mengumpul kesan toksik. Selain itu barangan elektronik terbuang juga mengandungi PCB - polychlorinated biphenyls. PCB boleh membahayakan kesihatan kerana ia membawa kesan karsinogenik kepada manusia.  

Barangan permainan kanak-kanak juga menyumbang kepada buangan plastik dan elektronik.

Menyedari bahaya yang dibawa oleh barangan buangan elektronik maka perlulah semua pihak mengambil langkah supaya program kitar semula diperhebatkan. Antara yang boleh dilakukan ialah;

a. mengembalikan setiap barangan elektronik yang lusuh kepada penjual supaya dapat dikitar semula oleh mereka

b. menghantar barangan elektronik yang lama ke pusat kitar semula

c. penggunaan komputer di sektor awam diservis secara berkala bagi memanjangkan hayatnya

d. membeli semula barangan elektronik lama yang masih boleh digunakan

e. memperbanyak tong kitar semula untuk barangan elektronik seperti telefon bimbit

f. mengadakan kempen kesedaran di kalangan masyarakat mengenai bahaya lambakan barangan buangan elektronik.

Get free blog up and running in minutes with Blogsome
Theme designed by Janis Joseph