geopractice

July 22, 2008

Sembang Kopi

Filed under: Uncategorized - Administrator @ 9:22 am

Entri mengenai kopi, kedai kopi dan budayanya telah ditulis di beberapa tempat sebelum ini. Melihat ada juga pelawat yang singgah membaca entri tersebut menimbulkan rasa teruja untuk menyambung mauduk berkenaan. Sememangnya kopi dan kafe menjadi suatu budaya global masa kini. Seorang blogger di tanah seberang menulis banyak entri mengenai kopi. Beliau menyentuh mengenai sejarah kopi  (baca 1 dan 2), jenis-jenis biji kopi khususnya Arabica dan Robusta, varieti kopi dari berbagai ceruk benua seperti Costa Rica, Mexico, Sumatera dan sebagainya. Turut dimuatkan ialah entri mengenai kopi liberika dan penanamannya. Penjelasan ini dapat membantu satu soalan yang ditanya berkaitan usaha Mardi memperkenalkan kopi liberika di Johor. Baca pula tentang aspek penjagaan tanaman kopi di sini.

Hidangan kopi dari Gloria Jean’s

Baru-baru ini timbul pula satu lagi perbincangan mengenai kopi khususnya di ipta. Satu cadangan telah dilontarkan untuk membenarkan kafe seperti Starbucks untuk membuka perniagaan di kampus. Maka ramai yang menyuarakan pendapat masing-masing mengenai buruk baik hal tersebut. Apabila kesan kenaikan harga minyak memuncak kita disyor untuk mengubah gaya hidup. Persoalannya relevan lagikah seruan itu sekiranya pengusaha seperti Starbucks berniaga di kampus ipta?

July 10, 2008

Pertembungan agama

Filed under: Uncategorized - Administrator @ 12:07 am

Isu konflik pertembungan agama wujud sejak sekian lama. Salah satu tuduhan buruk yang sering disebut ialah menuduh Islam berkembang melalui mata pedang. Sebuah rencana menjawab perkara ini pernah ditulis oleh Uri Avnery. Beliau merupakan seorang atheis bangsa Yahudi menulis menepis tuduhan buruk tersebut dalam sebuah rencana berjudul "Muhammad’s sword" yang boleh dibaca di sini. Karen Amstrong pula menulis sebuah rencana denga nada yang sama mempertahan Islam dari tuduhan tersebut. Rencana berjudul "We cannot afford to maintain these ancient prejudices against Islam" boleh dibaca di sini.

Artikel yang disebutkan di atas adalah ekoran tuduhan serupa yang dilemparkan oleh Pope Benedict pada September 2006. Sebuah jawapan tulisan Tariq Ali "Papa insults - A Bavarian provocation" pula diterbitkan oleh counterpunch di sini.

Ruang solat wanita Surau Padi Malinja, BBUda JB

July 8, 2008

Robert Ketton dan Qur’an

Filed under: Uncategorized - Administrator @ 2:49 am

Membaca mengenai sejarah orientalis akan ditemui banyak nama para pengkaji Barat yang bersangkut paut dengan al-Quran. Salah satunya ialah Robert Ketton. Beliau merupakan seorang rahib (monk) dan orang pertama yang telah menterjemah Quran ke bahasa Barat iaitu ke Latin di zaman pertengahan (medieval Latin). Beliau melaksanakan usaha tersebut pada tahun 1143 dan hasil kerja berkenaan ialah untuk diserah dan digunakan oleh Peter the Venerable. Peter ialah seorang ketua sebuah biara (abbot of the monastery of Cluny). Peter meminta Quran diterjemahkan kerana ia mahu memahaminya tetapi bukan dengan niat baik tetapi untuk membolehkan beliau mematahkan hujah Quran. 

Terjemahan Ketton kemudiannya telah dicetak pada tahun 1543 di Basel. Berikutnya, pada tahun 1547 Andrea Arrivabene telah menggunakan hasil kerja Ketton untuk menghasilkan terjemahan pertama Qur’an ke bahasa Eropah moden iaitu ke bahasa Itali. Terjemahan pertama ke bahasa Inggeris telah diusahakan oleh George Sale pada tahun 1734. Sedikit penulisan tentang topik yang sama boleh dibaca dari islamonline.

Sebuah rencana berjudul "Reading the Qur’an in Latin Christendom 1140-1540" tulisan Thomas E Burman dari University of Tennessee at Knoxville boleh di baca di sini.

Ruang solat Masjid Jamek Kg Sg Redan, Ulu Tiram

July 4, 2008

Tafsir bil-ma’thur dan bir-ra’yi

Filed under: Uncategorized - Administrator @ 9:22 am

 

Setiap umat Islam amat dituntut merapatkan diri dengan al-Quran. Disamping kita berusaha memperbaiki qiratul Quran alangkah eloknya kalau dapat mengenali dan membaca tafsir al-Quran. Ada banyak sumber maklumat yang boleh kita cari untuk mempelajari tafsir dan mengenali jenis-jenis tafsir al-Quran.

Tafsir bil-ma’thur ialah tafsir bersandar kepada hadith-hadith, tabi’in dan tabi’it tabi’in. Contoh tafsir jenis ini ialah Jamiul-Bayan oleh al-Tabari dan mengikutinya ialah tafsir Ibnu Kathir.

Tafsir bir-ra’yi iaitu tafsir yang menggunakan akal fikiran yang terbahagi pula kepada dua jenis. Pertama tafsir dibuat menurut kaedah yang betul dan boleh diterima. Jenis kedua pula tafsir yang tertolak kerana unsur rasionalisma, ekstrim dan menurut hawa nafsu. Termasuk dalam golongan ini ialah tafsir yang dihasilkan oleh kelompok Muktazilah, Syiah, dan golongan sufi mistik seperti Ibnu Arabi.

(Penjelasan ini di petik dari buku Pemikiran Islam oleh Dr Abdul Rahman Hj Abdullah)

Pintu utama Masjid Jamek Kg Sg Redan, Ulu Tiram, Johor

July 1, 2008

Abu Al-Aswad Al-Dualy

Filed under: Uncategorized - Administrator @ 7:47 am

Pertama kali mencatat nama tokoh ini apabila membaca buku Pemikiran Islam Klasik tulisan Dr Abdul Rahman Hj Abdullah. Dalam buku tersebut pengarang mengeja nama itu sebagai Abu Aswad ad-Dualy. Siapakah tokoh ini dan apakah sumbangan beliau?

Abu Al-Aswad ialah nama yang kita temui bila membaca mengenai sejarah al-Quran. Beliau merupakan tokoh yang memberi sumbangan melengkapkan al-Quran dengan tanda bacaan untuk memudahkan qirat al-Quran. Tugas ini dilaksanakan atas perintah Khalifah Muawiyah Ibn Abi Sufyan. Jasa beliau amat besar kerana tanda bacaan dapat mengelak umat dari melakukan kesalahan membaca. Ini merupakan usaha di peringkat pertama untuk menyeragamkan al-Quran. 

Usaha tersebut telah disambung pula di peringkat kedua oleh Khalifah Malik Ibn Marwan (685-705M). Beliau memerintahkan Al-Hajjaj untuk meletak tanda bacaan bagi membezakan beberapa huruf dalam Arab/jawi. Al-Hajjaj seterusnya meminta Nasr Ibn Asem dan Hayy Ibn Yaamor untuk bersama melaksanakan tugas berkenaan.

Seterusnya, tugas di peringkat ketiga iaitu (eg. dammah, fathah dan kasrah). Tugas ini dilaksanakan oleh Al-Khaleel Ibn Ahmed Al Faraheedi. Bagi mendapatkan maklumat tambahan berkaitan dengan topik ini boleh lawati laman sunnah.org

Masjid Jamek Bandar Baru UDA

Nota: Terdapat ejaan yang berbeza digunakan dalam buku PIK. Nama Hayy Ibn Yaamor dieja sebagai Yahya bin Yakmar dan begitu juga ejaan Nasim bin Asim al-Laisy. Satu nama lagi muncul dalam buku PKI iaitu Khalid Abi Hiyaj. Beliau disebut menyumbang mencantikkan tulisan al-Quran. Baca m/surat 5-6 buku PKI yang juga menyebut bahawa tugas Khalid dilaksanakan semasa pemerintahan al-Walid bin Abdul Malik (705-715M). Sebuah artikel di laman ini menyenaraikan Khalid Abi Hiyaj dan Al-Khaleel Al-Faraheedi sebagai dua individu tokoh dalam seni khat. 

Get free blog up and running in minutes with Blogsome
Theme designed by Janis Joseph