geopractice

April 29, 2008

Juzuk 21 - Surah Ar-Rum & Luqman

Filed under: Uncategorized - Administrator @ 7:35 am

 

Juzuk 21 mengandungi surah berikut - Al Ankabut (sebahagian), Al Rum (turun selepas Al Inshiqaq), Al Luqman (turun selepas As Safaat), As Sajadah (turun selepas Al Mukminun), Al Ahzab (turun selepas Ali Imran). Surah Ar Rum mengambil nama sebuah pemerintah yang terkenal di zaman sebelum Islam (di panggil juga sebagai kerajaan Romawi).

Menurut kitab tafsir AM surah Al-Luqman mengambil nama Luqman - seorang penduduk Mesir yang berkulit gelap. Beliau bekerja sebagai tukang kayu dan hidup dalam serba sederhana. Pernah mendengar dari seorang ustaz melalui sebuah kuliah agamanya menyebut bahawa Luqman adalah sezaman dengan Nabi Daud (semoga maklumat ini dapat ditemui/disahkan melalui pembacaan kitab). Allah menganugerahkan hikmah dan mengangkatnya ke darjah kenabian - rujuk m/s 5365.

.. comic san ms

April 27, 2008

Kedai Kopi

Filed under: Uncategorized - Administrator @ 1:15 am

Mencari kedai minum dan makan tak jadi masalah. Terlalu banyak pilihan dan selalunya kedai-kedai minum tersebut sentiasa ada pelanggan. Ini menunjukkan hobi rakyat kita ialah mengunjungi kedai minum sekali pun dalam keriuhan barang naik harga.

Jom Bali di Pasaraya Tesco Taiping

Kedai kopi dengan konsep kopi tiam menjadi satu trend masa kini. Banyak peniaga yang membuka perniagaan kopi tiam dengan berbagai jenama seperti Kopi Tiam, White Coffee, Jom Bali dan sebagainya. 

Kopi dan roti bakar di Jom Bali Cafe

Dari satu sudut dapat dikatakan perkembangan kopi-tiam adalah menumpang kesan kehebatan perniagaan cafe terkenal seperti Starbucks, Gloria Jean’s dan lain-lainnya. Harga di cafe ternama ni memanglah mahal. Secawan kopi dah Rm5 ke atas. Kalau kat kopi-tiam dalam Rm1.30 pun dah dapat. Namun kualiti dan keenakan kopi di Starbucks tentulah berbeza jauh.

April 22, 2008

Petikan Tafsir - Nabi Sulaiman

Filed under: Uncategorized - Administrator @ 8:10 am

 

Berikut adalah dua catatan mengenai riwayat Nabi Sulaiman yang dipetik dari pembacaan tafsir - pertamanya dari Surah Al-Naml ayat 44 menceritakan kisah Nabi Sulayman dengan Puteri Balqis. Suatu petikan yang disertakan dalam Tafsir AM vol 10 m/surat 5046 menukil bahawa terdapat hadis Nabi saw bersabda  ”manusia pertama yang membuat bilik mandi ialah Nabi Sulaiman a.s”

Pemandangan sebahagian Culture Mosque, Taipei

(dikenali juga namanya sebagai Masjid Kecil Taipei)

Satu lagi petikan adalah tentang mukjizat Nabi Sulaiman boleh mengembara di bawa angin. Mukjizat ini biasa kita dengar diceritakan oleh para ustaz dalam kuliah atau ceramah agama. Suatu yang jarang didengari ialah ke mana tempat yang Nabi Sulaiman pernah di bawa dan sampai oleh mukjizat tersebut. Buat pertama kalinya terbaca mengenai cerita perjalanan Nabi Sulaiman iaitu dalam Tafsir AM vol 11 m/s 5551.

Papan tanda waktu solat di Masjid Kecil

Dalam tafsir Surah Saba’ ayat 12 Al-Maraghiy menulis Nabi Sulaiman di bawa angin dari waktu pagi ke tengah hari dengan kelajuan sebulan perjalanan. Kemudian dari tergelincirnya matahari sehingga terbenam matahari dengan kelajuan sebulan perjalanan juga. Beliau memetik dari Hasan al-Basri bahawa "Nabi Sulaiman pergi dengan cara terbang di atas tikarnya dari Damsyik kemudian singgah di Istakhar dengan makan tengah hari di sana. Selepas itu beliau bermalam di Kabul. Jarak di antara Damsyik dan Istakhar memakan masa sebulan perjalanan unta yang bergerak pantas. Manakala jarak di antara Istakhar dan Kabul memakan masa sebulan perjalanan juga. Istakhar adalah nama sebuah pekan di Parsi (sekarang Iran). Baca petikan yang sama dalam bahasa Inggeris di sini dari Tafsir Ibn Kathir.


 

April 15, 2008

Dari Ibn Kathir - Nabi Adam a.s

Filed under: Uncategorized - Administrator @ 3:36 am

Ketokohan Ibn Kathir atau nama penuhnya Abu al-Fida’ al-Hafiz Ismail ibn Kathir dikenali melalui berbagai kitab beliau yang tersohor. Ibn Kathir lahir pada tahun 701H dan meninggal dunia pada tahun 774H. Makam beliau ialah di Damsyik, Syria. Salah sebuah kitab beliau yang telah diterjemahkan ke Bahasa Melayu menceritakan dengan agak detail sejarah hidup nabi-nabi. Banyak fakta yang boleh dipetik dari kitabnya "Sejarah Tamadun Islam". Antaranya dalam kisah Nabi Adam disebutkan bahawa;

Gunung Qasium - sebuah gunung yang terletak di utara Damsyik adalah tempat di mana Qabil membunuh Habil. Turut dicatatkan bahawa  adanya gua darah di situ sebagai kesan pembunuhan tersebut.

Surau MRSM Mersing

Selanjutnya Ibn Kathir menulis dalam bentuk pertanyaan di manakah makam nabi Adam a.s ?. Menurut Ibn Kathir ada tiga pendapat iaitu - di India iaitu di sebuah gunung tempat ia dipercayai turun dari syurga; di Gunung Abu Qubis Mekah; di Baitul-Muqaddis.

Beliau juga menyenaraikan nama mereka yang meneruskan tugas kenabian selepas Nabi Adam a.s mengikut urutan berikut: Adam - Shith - Anush - Qaynan - Mahlayil -Yarid - Khunukh (Nabi Idris a.s).

Ruang solat surau MRSM Mersing

April 12, 2008

Fitna Belanda

Filed under: Uncategorized - Administrator @ 1:39 am

April ‘08 menimbulkan satu isu hangat ‘Fitna’ iaitu sebuah filem pendek dihasilkan oleh Geert Wilder, seorang ahli parlimen Belanda. Filem tersebut mempersenda Al-Quran dengan antara lain menyebut Al-Quran sebagai kitab yang menganjurkan keganasan. Sesungguhnya isu sedemikian bukanlah asing.  Malah ia sebagai penerusan kepada usaha pihak yang memburuk dan menentang Islam. Banyak contoh lain yang telah dibuat oleh pihak Barat mahu pun oleh golongan yang dulunya beragama Islam seperti Salman Rushdi, Ibu Warraq, Iryan Harsi Ali dan ramai lagi.

Setidak-tidaknya eloklah di boikot barangan Belanda sebagaimana yang dianjurkan oleh banyak pihak. Sungguh pun belum dapat dipastikan sejauh mana dampak pemboikotan ini namun ia merupakan suatu yang mudah. Beli saja produk negara lain atau lebih baik beli barangan tempatan.

Satu contoh mudah jangan beli Dutch Lady. Belilah Good Day! Sekali pun begitu hal ini ada juga implikasinya kepada umat Islam Belanda. Baca juga yang ini. Turut menerima kesannya adalah industri dalam negara.

p/s: Baca satu komen mengenai Fitna di Guardian. Baca juga di sini.

April 9, 2008

Bakeri

Filed under: Uncategorized - Administrator @ 11:17 pm

Bakeri merupakan suatu perniagaan yang patut diceburi terutama untuk pasaran produk halal. Berbagai pengusaha bakeri jenama besar boleh ditemui. Nama-nama seperti Bread Talk, Leavender, Papa Roti, Season dan juga The Loaf (kepunyaan Dr M) sudah tidak asing kepada penggemar roti. Mereka membuka perniagaan ditempat-tempat dominan seperti komplek membeli-belah malah di airport.

Akhir-akhir ini sebilangan para usahawan Melayu mengorak langkah menceburi perniagaan bakeri. Cerita perniagaan mereka dipaparkan di akhbar dan juga majalah. Tak kurang menariknya kalau kita melayari blog yang memaparkan pengalaman peniaga bakeri. Salah satunya boleh dilihat di sini yang turut menyenaraikan beberapa link menarik.

Kalau berada di negara asing kedai roti mungkin tempat yang kita singgahi untuk mencari sesuatu melapik perut. Roti di foto atas dibeli di sebuah kedai yang terletak di sebuah Airport. Harga jualannya cuma 80 sen (Euro).

April 6, 2008

Israiliyyat Lagi

Filed under: Uncategorized - Administrator @ 4:00 am

Majalah i dalam salah satu keluarannya telah memberi fokus kepada perbincangan mengenai Israiliyyat.  Walau pun perkara Israiliyyat ini suatu yang agaknya ramai telah mengetahuinya namun perbincangan mengenainya adalah relevan dan perlu saling diperingati.

Kepada para pengkaji yang sentiasa mencari bahan bacaan makalah umum seperti ini boleh diguna sebagai simpanan khazanah.

April 3, 2008

Endau Beach Resort

Filed under: Uncategorized - Administrator @ 7:31 am

Sekali-sekala kita perlu berjalan melihat tempat orang. Banyak yang boleh dipelajari dari kunjungan tersebut. Melihat cara hidup masyarakat, keadaan ekonomi setempat, tahap pembangunan dan sebagainya. Memang lebih bermakna kalau dapat melancung keluar negara. Tetapi rata-ratanya masyarakat Melayu kita tak mampu nak pergi melawat ke negara lain kerana keadaan ekonomi keluarga yang tidak mengizinkan. Lainlah ceritanya bagi golongan korporat dan para pemimpin politik. Jadi dapat melihat tempat pelancungan dalam negara pun dah kira suatu rahmat!

Pemandangan pantai Penyabung dari Endau Beach Resort

Salah satu tempat yang boleh dikunjungi ialah Endau Beach Resort. Ia terletak di Penyabung, satu kawasan tepi pantai. Jaraknya dari bandar Mersing adalah kira-kira 40 minit memandu kereta. Pastikan tangki minyak mencukupi kerana di Penyabung tiada stesen petrol! Paling dekat mungkin di Bandar Endau iaitu 16km jauhnya dari Penyabung. 

Penginapan di Endau Beach Resort

Penginapan tidak sukar kerana ada dua buah resort terletak bersebelahan satu sama lain. Salah satunya adalah Endau Beach Resort dengan kadar Rm160 semalam. Agak selesa juga dan siap ada kolam mandi serta kafe. Tetapi harga penginapan tersebut tidak termasuk makanan. Namun tak jadi hal kerana banyak kedai makan berdekatan dan berjalan kaki dalam 5 minit sahaja. Harga pun berpatutan. Nasi lemak untuk sarapan pagi boleh didapati dengan harga cuma Rm1 ..

Nasi lemak bungkus daun …

mmm

Get free blog up and running in minutes with Blogsome
Theme designed by Janis Joseph